Mulai hari ini, kawasan riadah Taman Tasik Titiwangsa ditutup sepenuhnya kepada kunjungan awam.

Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL), langkah penutupan itu diambil selepas mendapati terdapat pelanggaran prosedur operasi standard(SOP) dalam kalangan pengunjung.

Berikutan itu, langkah tersebut diambil bagi mengelakkan penularan wabak Covid19 melalui kehadiran pengunjung yang ramai sejak ia dibuka semula untuk aktiviti senaman selari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) pada 4 Mei lalu.

“Terlalu ramai orang yang hadir ke taman berkenaan, malah kawasannya yang begitu luas dan terbuka menyukarkan aspek kawalan dan pengurusan awam,” ujarnya.

“Kita juga dapati ada yang ‘bersidai’ di taman, selepas tiba di kawasan berkenaan menaiki hampir empat hingga lima kereta,” katanya.

“Oleh itu, kita ambil keputusan untuk tutup taman ini sehingga ke satu tarikh yang akan diputuskan kemudian, selain mengikut saranan Kementerian Kesihatan(KKM),” jelasnya.

Difahamkan, pengurusan keluar masuk pengunjung ke taman berkenaan selain keperluan melakukan saringan kesihatan tidak berupaya dilakukan.

“Disebabkan perkara ini dan bagi mengelak situasi bertukar buruk, kita tutup dahulu taman rekreasi dan riadah di Kuala Lumpur ini daripada kunjungan awam,” tambahnya.

“Bagaimanapun, aktiviti senaman dan larian masih dibenarkan di luar atau sekeliling taman,” sambungnya lagi.

Sumber: Berita Harian