Dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil, ramai di antara kita diberhentikan kerja, terpaksa cuti tanpa gaji serta dipotong gaji kerana majikan tidak dapat membayar gaji pekerja.

Seorang gadis muda, Farah Nur Syifa, 20 tahun, telah bekerja sebagai penghantar makanan Foodpanda sejak dia habis praktikal hingga sekarang.

Menurutnya yang lebih dikenali sebagai Fafa, dulu dia bekerja penghantar makanan secara sambilan, namun nekad untuk bekerja sepenuh masa memandangkan kini agak sukar untuk mencari pekerjaan.

“Saya kerja dengan Foodpanda sejak awal tahun lagi. Saya daftar tahun lepas masa tengah belajar dulu tapi baru dapat masuk awal tahun,” ujar pelajar Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) jurusan Terapi Kecantikan itu.

“Saya suka kerja ni, boleh dikira macam hobi juga la. Kadang kadang tu ada perasaan takut juga terutama waktu malam, saya pulak perempuan,” jelasnya.

“Alhamdulillah sepanjang bekerja ni tak ada lagi perkara yang tidak diingini berlaku. Minta dijauhkan,” katanya.

“Pengalaman yang menyeronokkan, pelanggan tak kira bangsa dan umur. Mereka ‘sporting’, ada yang bagi duit raya dekat saya. Paling seronok, apabila pelanggan faham masa kita lambat hantar sebab kedai makan tengah ramai orang,” tambahnya.

“Alhamdulillah, masa puasa haritu ada pelanggan sedekahkan air untuk saya berbuka. Masa tu tinggal dua minit lagi nak berbuka. Rasa dihargai sebagai ‘rider’ dan barisan hadapan (frontliner),” ujarnya.

Memiliki wajah yang cantik membuatkan Fafa juga tidak terlepas daripada diganggu oleh golongan lelaki.

“Kadang-kadang tu ada je tapi saya tak layan. Kalau nombor tak kenal, saya akan layan jika dia pelanggan perniagaan saya,” sambungnya lagi.

“Bukan hanya satu kerja saya buat, ada beberapa lagi yang saya sertai sebagai ejen. Saya juga tolong ibu jual laksa mee pangkor, setiap hari saya akan hantar di sekitar Ipoh,” ujarnya.

Sumber: Gempak & Twitter @weslysky