Ibu bapa mana yang sanggup melihat anak bersedih kerana tidak dapat apa yang diinginkan. Berikutan itu, seorang bapa sanggup menganyam tali rafia sehingga menjadi sebuah beg sekolah untuk anaknya.

Kisah yang berlaku di Thailand itu berjaya mencuri perhatian ramai pengguna laman sosial Facebook apabila ia dikongsi oleh pengguna laman tersebut, Sophous Suon.

Perkongsian itu turut diselitkan dengan beberapa keping gambar menunjukkan beg sekolah berkenaan yang kelihatan seperti dibuat daripada anyaman tali rafia berwarna biru.

Selain itu, beg berkenaan juga dilengkapi dua tali hitam serta kancing yang dijadikan sebagai penutup beg berkenaan. Malah, beg tersebut juga kelihatan kukuh untuk membawa beberapa buku sekolah.

Menurut Sophous, beg tersebut dianyam oleh bapa kanak-kanak lelaki tersebut kerana bapanya tidak mampu membelikannya beg sekolah biasa.

Semoga adik ini belajar rajin-rajin sehingga berjaya dan menghargai serta membalas pengorbanan bapanya yang sanggup bersusah-payah membuat beg sekolah untuknya.

Sumber: Astro Awani