Isu paling hangat diperkatakan, seorang lelaki berusia 41 tahun menikahi seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di selatan Thailand menjadi tular kerana ramai beranggapan tindakan dilakukannya tidak wajar.

Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, memberitahu wali yang menikahkan anak perempuan bawah umur kerana kemiskinan tidak layak menjadi wali.

Ini kerana, wali yang sebenar seharusnya menjadi pelindung tetapi wali yang mengahwinkan anaknya atas sebab kemiskinan tidak layak untuk menjadi pelindung. Malah, anak perempuan itu juga dianggap menjadi mangsa atas tindakan walinya sendiri.

“Biarpun tiada paksaan dalam Islam untuk menikahkan anak perempuan, namun pelbagai dalil mensyaratkan kerelaan wanita dalam perkahwinan,” tulisnya di laman Facebook.

“Anak perempuan yang di bawah umur, yang tidak memahami realiti apa yang dipersetujui tidak boleh dianggap rela,” sambungnya lagi.

Difahamkan, keluarga kanak-kanak perempuan itu menikahkan anak mereka kerana terhutang budi dengan lelaki tersebut selain hidup susah. Kanak-kanak itu merupakan isteri ketiga kepada lelaki itu dan dikatakan suaminya akan tinggal sebumbung selepas lima tahun akan datang.

Walau bagaimanapun, Mohd Asri atau Dr. MAZA menjelaskan bahawa umat Islam perlu bersifat terbuka dalam menilai pandangan-pandangan agama dan tak menilai berdasarkan satu mazhab saja kerana realiti serta cabaran kehidupan sekarang berbeza berbanding zaman dahulu.

“Kita tidak wajar terlalu terikat dengan sesuatu mazhab tetapi yang mesti kita lakukan berusaha memahami hujah-hajah para sarjana dari apa mazhab sekalipun selagi tidak menyanggahi al-Quran dan as-Sunnah,” ujarnya.

Sumber: mStar