Pelakon terkenal, Wawa Zainal atau nama penuhnya Nur Hawa Zainal Abidin, 28 tahun, hamil anak ketiga dengan usia kandungan mencecah tiga minggu.

“Aeril orang yang sangat gembira apabila saya beritahu perkara ini. Apatah lagi selepas dapat anak kedua empat tahun lalu, dia sentiasa inginkan tambah anak,” ujarnya.

Menurutnya, dia dan suami, Aeril Zafrel, mengakui hampir berputus asa selepas empat tahun mencuba untuk mendapatkan anak ketiga.

Sepanjang empat tahun itu, Wawa tidak pernah mencuba sebarang kaedah perubatan moden atau tradisional, namun menganggap ia bukan rezeki mereka.

“Tapi, apabila tidak dapat kami hampir putus asa juga. Kami fikir mungkin rezeki anak dua saja. Alhamdulillah, dengan ikhtiar sejak beberapa bulan lalu iaitu dengan mengamalkan minum madu Turki, tidak menjangka Allah berikan rezeki ini,” katanya.

Dia mengamalkan pengambilan madu itu sejak dua bulan lalu selepas diberitahu mengenai khasiatnya semasa bercuti di Turki sebelum ini.

“Semasa pergi Turki tempoh hari, memang mereka ada cakap madu ini bagus untuk wanita yang mahu hamil. Malah ramai testimoni yang berjaya. Apabila terjadi pada diri sendiri, baru saya percaya. Begitu juga dengan sepupu saya, yang baru tiga minggu mengamalkannya, dia kini hamil juga,” jelasnya.

“Memang ini semua dari Allah, tapi sekurang-kurangnya kita kena usaha dan ikhtiar juga. Macam saya sendiri, empat tahun menunggu, akhirnya Allah makbulkan,” sambungnya.

Terdahulu, Wawa dan Aeril mempunyai dua orang anak iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 6 tahun, dan Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 4 tahun.

Sumber: Harian Metro