Syarikat di bawah ekosistem Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia(MTDC), Medical Innovation Ventures Sdn. Bhd. (Mediven), telah berjaya mencipta dua kit diagnostik untuk penyakit Covid19.

Gambar sekadar hiasan

Difahamkan, kit pertama berfungsi sebagai ujian saringan untuk Covid19 dan influenza atau kluster penyakit mirip influenza (influenza-like illnesses, ILI) daripada sampel klinikal. Manakala kit kedua pula berfungsi sebagai ujian pengesahan Covid19 daripada sampel klinikal.

Terdahulu, agak sukar untuk membezakan satu penyakit ke penyakit yang lain memandangkan kluster penyakit mirip influenza (influenza-like illnesses, ILI) menunjukkan simptom-simptom klinikal yang agak sama seperti demam, batuk dan sesak nafas.

“Melalui ujian tiub tunggal, GenoAmp® Real-Time RT-PCR Flu A/ Flu B/ SARS-Cov-2/MERS-CoV dapat mengesan dan membezakan jangkitan influenza A (H1N1, H3N2), influenza B, SARS-CoV-2 (gen Nucleocapsid (N), gen RNA-dependent RNA Polymerase (RdRP), gen ‘Spike’ (S)) dan MERS-CoV secara serentak dengan hanya menggunakan setitis sampel pesakit,” ujar syarikat tersebut.

Gambar sekadar hiasan

Selain itu, kit diagnostik kedua, GenoAmp® Real-Time RT-PCR SARS-Cov-2 dapat mengesan jangkitan Covid19 melalui saringan gen RdRp dan gen S serta pengesahan melalui gen N daripada sampel pesakit.

“Ujian ini telah direka berdasarkan protokol antarabangsa yang disyorkan oleh Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) untuk COVID-19. Satu kajian baru-baru ini yang diterbitkan di Lancet pada 24 Januari 2020 melaporkan bahawa S gene mempunyai kepekaan (sensitiviti) yang lebih baik untuk mengesan COVID-19 dalam swab nasofaring pesakit,” jelasnya.

Untuk pengetahuan anda, kit-kit yang dihasilkan itu merupakan ujian saringan awal yang membolehkan pengesanan beberapa virus secara serentak dalam satu ujian saja.

“Ini membolehkan peningkatan kecekapan dalam aliran kerja, memaksimumkan daya pemprosesan dan membantu pihak hospital untuk mengesan pesakit yang dijangkiti dengan lebih cepat dan tepat,” katanya.

Sumber: Astro Awani