Penyanyi terkenal, Datuk Jamal Abdillah, 60 tahun, berkongsi berita kelahiran anak perempuannya, Nur Azura Yamani, yang selamat dilahirkan pada pukul 5.35 petang, semalam.

“Alhamdulillah, ia adalah anugerah terindah daripada Allah SWT kerana sudah lama saya menanti kehadiran cahaya mata perempuan sekali gus melengkapkan rumah tangga,” ujarnya.

Difahamkan, isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 25 tahun, selamat melahirkan anak perempuan mereka secara pembedahan di pusat perubatan swasta Shah Alam.

“Isteri dimasukkan ke wad bersalin semalam dan pada jam 5.35 petang tadi, pembedahan selamat dijalankan. Saya bersyukur isteri selamat melahirkan bayi perempuan kami yang sihat, putih melepak dan seiras wajah saya seberat 2.7 kilogram,” jelasnya.

Menurutnya, isterinya akan ditahan selama beberapa hari di wad sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

“Maklumlah, isteri melahirkan anak secara pembedahan dan doktor mahu memastikan keadaannya okey dulu sebelum pulang ke rumah,” katanya.

“Isteri juga akan menjalani tempoh berpantang di kediaman kami di Shah Alam selepas keluar dari wad nanti,” sambungnya.

Terdahulu, Jamal pernah berkahwin sebanyak tiga kali dan mempunyai dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 18 tahun, dan Ahmad Zaki Yamani, 13 tahun.

Sumber: Harian Metro