Satu pencapaian membanggakan negara Malaysia apabila dua pelajar dari negara ini, Mohamed Aqil Azmi dan Zad Chin Qi Qi, bakal ke Kolej Harvard, iaitu sebuah sekolah sarjana bagi Universiti Harvard yang terkenal di seluruh dunia.

Menurut kenyataan Kelab Harvard Malaysia, kedua-dua pelajar itu akan menjadi sebahagian daripada kelas sarjana tahun 2024 nanti.

Mohamed Aqil, 20 tahun, berasal dari Shah Alam, Selangor, bakal mengambil jurusan Matematik dan Falsafah, manakala Zad Chin, 20 tahun, pelajar perempuan dari Ipoh, Perak, merancang mengambil jurusan Sains Komputer dan Pengajian Sosial.

“Kedua-dua pelajar pada masa ini sedang mengikuti pengajian A-Level di Kolej Yayasan UEM di Lembah Beringin, Selangor,” ujarnya.

“Mohamed Aqil dan Zad Chin akan memulakan pengajian peringkat sarjana mereka apabila Kolej Harvard dibuka semula bagi tahun akademik yang baharu,” jelasnya.

Difahamkan, terdapat sejumlah 40,248 permohonan untuk memasuki kelas pengajian Kolej Harvard bagi tahun 2024, namun hanya 1,980 pelajar diterima masuk dengan hanya 10.8 peratus pelajar antarabangsa.

Terdahulu, kali terakhir pelajar Malaysia diterima masuk ke Kolej Harvard adalah pada tahun 2017 lalu.

Sumber: Bernama & Harian Metro