Setelah berminggu-minggu rakyat berteka-teki mengenai kehamilan penyanyi nombor satu negara, Dato’ Seri Siti Nurhaliza Tarudin atau lebih dikenali sebagai TokTi, akhirnya membuat pengumuman rasmi mengenai keadaan terbarunya pada hari ini.

Menurut posting terbarunya itu, dia menyatakan bahawa kehamilan anak keduanya itu sudah pun mencecah empat bulan.

“Alhamdulillah. Hari ini 1 Disember 2020, saya dan suami membuat pengumuman rasmi mengenai kehamilan saya yang sudah pun berusia 4 bulan,” ujarnya.

“Tiada niat untuk berdiam diri selama beberapa bulan ini namun saya dan suami berfikir, apabila tiba waktu yang sesuai, kami tetap akan berkongsi berita ini dengan semua, terutamanya keluarga, saudara mara, sahabat handai, para peminat dan sesiapa sahaja yang mengenali kami,” jelasnya.

“Saya memohon doa kalian supaya saya dan bayi di dalam kandungan diberikan kesihatan, dipermudahkan hari-hari saya ke depan ini sehinggalah saat melahirkan nanti,” katanya.

“Terima kasih sekali lagi kepada kalian yang sangat memahami dan tidak putus mendoakan saya selama ini. Saya amat bersyukur di atas kurniaan Allah ini, anugerah yang sangat berharga kerana saya diberi peluang untuk hamil selepas Siti Aafiyah berusia dua tahun lebih,” tambahnya sambil meminta orang ramai mendoakan kesihatannya sepanjang proses kehamilan.

Alhamdulillah. Tahniah TokTi!

Sumber: IG ctdk