Baru-baru ini, Tabung Haji(TH) mengambil tindakan dengan mengehadkan pendeposit untuk menunaikan haji sekali saja kerana mahu memberi peluang kepada umat Islam lain di negara ini untuk menunaikan ibadah tersebut.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, memberitahu bahawa TH wajar mengenakan had atau sekatan terhadap pendeposit yang telah menunaikan haji dan mahu menunaikan haji buat kali kedua supaya dapat memendekkan giliran menunggu bagi mereka yang berada dalam proses menunggu giliran.

“Betullah tindakan itu, tiada masalah kerana ia dapat memberi peluang kepada orang lain dan bukannya orang yang sama saja dapat peluang mengerjakan haji,” ujarnya.

“Jika tidak, hanya orang yang kaya saja dapat menunaikan haji, sedangkan mereka yang tidak kaya terpaksa menunggu tempoh lama untuk berbuat demikian,” jelasnya.

Gambar sekadar hiasan

Sebelum ini, TH membuat keputusan untuk menetapkan pendeposit yang sudah menunaikan haji tidak lagi dibenar mendaftar semula dengan institusi pengurusan dana haji itu untuk mengerjakan ibadat berkenaan buat kali kedua bermula tahun ini.

Sehingga kini, seramai 3.2 juta orang berada dalam senarai menunggu giliran untuk menunaikan haji dan jika ada yang baru mendaftar hari ini, individu tersebut berkemungkinan terpaksa menunggu selama 114 tahun untuk mendapat giliran mereka menunaikan haji.

Sebagai alternatif, mereka yang berkemampuan boleh menunaikan haji kali kedua dengan menggunakan pakej swasta yang ada di negara ini.

Sumber: Berita Harian