Syarikat pengurusan Hajar Sazrul Travel & Tours, yang mengendalikan 26 orang jemaah yang terkandas di Jeddah, Arab Saudi, berkaitan visa Furada dikatakan palsu itu membuat laporan polis pagi semalam.

Pengarah syarikat tersebut, Mohamad Sazrul Iqram Rozlan, menyatakan bahawa laporan itu dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak selepas pihaknya mendapat maklumat mengenai kejadian yang menimpa jemaah di bawah kendaliannya.

“Jemaah terbabit tidak dapat keluar dari lapangan terbang di Jeddah dan nama mereka tiada. Setakat ini saja daripada pihak kami, laporan polis sudah dibuat,” ujarnya.

“Polis memberitahu, perkara ini akan ‘pergi’ ke pihak media, jadi mereka memaklumkan supaya tidak mengulas lebih lanjut kerana akan mengganggu siasatan mereka,” jelasnya.

Terdahulu, seramai 26 rakyat Malaysia yang dikatakan menerima visa Furada terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah, selepas imigresen Arab Saudi mendapati nama mereka tiada dalam senarai visa haji.

Difahamkan, semua rakyat Malaysia yang terkandas berkenaan tiba di tanah air 11.03 pagi hari ini menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH151.

Selain itu, Sazrul turut menyatakan urusan visa Furada itu diuruskan pegawai Kedutaan Arab Saudi di Malaysia.

“Kita terkejut dikatakan visa itu tidak sah kerana kita sudah lama berurusan dengan pihak kedutaan. Justeru, kita merasakan kepercayaan kita kepada pihak berkenaan dicabuli apabila kejadian ini berlaku,” katanya.

Untuk pengetahuan anda, kejadian jemaah terkandas disebabkan visa merupakan kali pertama berlaku sejak 12 tahun agensi berkenaan beroperasi.

Siti Esah Hussain dan Rosmah Osman, antara jemaah yang terkandas di Jeddah

Malah, syarikat itu mengendalikan pengurusan haji dan tidak menghadapi sebarang masalah pada tahun lepas.

“Polis sudah memberikan kerjasama baik kepada kita cuma mereka minta jangan beritahu apa-apa kerana tidak mahu mengganggu siasatan,” ujarnya

“Kita tidak mahu menganiaya mereka dan memastikan jemaah kendalian kami pulang dengan selamat selain memberi keadilan kepada mereka,” tambahnya sambil menegaskan bahawa syarikatnya tidak menipu.

“Jemaah kita ramai daripada kenalan kita dan apabila perkara ini terjadi, kita sangat terkejut dan sedih sebab segala persiapan dan urusan sudah dibuat,” sambungnya.

Di samping itu, Sazali juga tidak dapat memberi kenyataan lebih lanjut berikutan tidak mahu mengganggu siasatan polis.

Sumber: Harian Metro