Syarikat e-hailing popular, Grab, dikatakan didenda sehingga RM86 juta, hari ini. Suruhanjaya Persaingan Malaysia(MyCC) mencadangkan agar Grab didenda RM86,772,943.76 kerana amalan menindas.

Ketua Pegawai Eksekutif, Iskandar Ismail, menjelaskan bahawa syarikat e-hailing berkenaan turut dikenakan denda kewangan harian RM15,000 bermula hari ini jika mereka gagal mengambil tindakan pembetulan seperti diarahkan MyCC untuk menangani isu persaingan berkaitan.

Menurutnya, Grab melanggar Seksyen 10 Akta Persaingan 2010 (AP 2010) secara kolektif berikutan syarikat itu didapati menyalahgunakan kedudukan dominannya melalui pengenaan beberapa klausa yang membataskan pemandunya.

Malah, Grab didapati membataskan pemandunya daripada mempromosikan serta menyediakan perkhidmatan pengiklanan kepada pesaing Grab dalam perkhidmatan e-hailing dan pasaran pengiklanan media transit.

“MyCC ingin menekankan bahawa klausa-klausa itu memberikan kesan mengganggu persaingan dalam pasaran berkenaan dengan mewujudkan halangan kemasukan dan perkembangan kepada pesaing Grab sedia ada termasuk pesaing masa hadapan,” ujarnya.

“Sehubungan itu, syarikat terbabit mempunyai 30 hari bekerja bermula hari ini untuk memberikan representasi pembelaan mereka kepada MyCC,” jelasnya.

“Kemudian, MyCC akan mengeluarkan keputusan akhir di bawah Seksyen 39 atau 40 AP 2010 selepas menilai kesemua representasi serta maklumat dan bukti yang diketengahkan,” katanya.

Difahamkan, tempoh 30 hari diberikan kerana ia bukan keputusan akhir, sebaliknya Grab mempunyai peluang untuk mengemukakan pembelaannya dalam masa ditetapkan.

Isu berkaitan Grab timbul berikutan penggabungan antara Grab dan Uber pada Mac tahun lepas sehingga Grab menjadi pemain dominan dalam pasaran e-hailing.

Sejak penggabungan itu, MyCC menerima banyak aduan terhadap Grab, namun Iskandar enggan mendedahkan secara khusus bentuk aduan diterima dan siapa pengadu.

“Berdasarkan aduan diterima, MyCC membuat penilaian dan memulakan penyiasatan ke atas Grab. Adalah penting bagi halangan-halangan kemasukan dalam pasaran (e-hailing) buat pemain baharu kekal rendah dan keupayaan pesaing-pesaing untuk berkembang dan bersaing berdasarkan pengekalan merit,” ujarnya.

“Ini bagi memastikan persaingan sentiasa sihat dalam pasaran e-hailing termasuk pasaran-pasaran lain yang berkaitan. MyCC berpandangan bahawa perlakuan Grab bukan saja mempunyai kesan kepada pemandu e-hailing dan pesaingnya, malah mempunyai kesan jangka panjang kepada pengguna,” sambungnya lagi.

Selain itu, pihaknya merancang untuk meminda undang-undang supaya MyCC mempunyai kuasa mengawal penggabungan syarikat dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP).

Di Malaysia ataupun lebih khusus MyCC, tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian tetapi hanya berperanan memantau syarikat selepas penggabungan berlaku.

“Kena faham, Malaysia atau MyCC tidak ada kuasa mengawal penggabung (syarikat). Di Singapura dan Filipina, mereka ada (kuasa). Maksudnya, mereka boleh menghentikan penggabungan, tetapi kita tidak boleh,” katanya.

“Sudah tiba masanya, kita ada kuasa untuk kawal penggabungan. Jadi, apa-apa perubahan kepada undang-undang atau penambahbaikan undang-undang kena melalui kementerian kami (KPDNHEP). Kementerian pun sudah tahu dan ia dalam perancangan,” tambahnya.

Sumber: Berita Harian