Syarat pensijilan halal tidak akan dilonggarkan hanya untuk memudahkan usahawan kecil dan asnaf mendapat pensijilan itu kerana ia harus menjaga kualiti pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa tersebut.

Walau bagaimanapun, usahawan kecil dan asnaf disarankan supaya menaik taraf perniagaan dan produk masing-masing agar kualiti dan kebersihan produk menepati syarat pensijilan halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM).

Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, menjelaskan bahawa permintaan usahawan kecil kepada JAKIM untuk melonggarkan syarat pensijilan halal itu bukan perkara baru tetapi pihaknya mahu menjaga integriti dan kredibiliti sedia ada.

“Peniaga-peniaga ini perlu tingkatkan perniagaan mereka. Kita fokus kepada peniaga mikro ini yang mana JAKIM berkerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan(FAMA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah(RISDA) untuk membantu mereka. Contohnya untuk mendapatkan dana dan bantu dalam aspek teknikal,” jelasnya.

Menurutnya, para peniaga tempatan perlu menaik taraf tempat pembuatan produk masing-masing untuk mencapai tahap produk yang lebih komersial untuk dipasarkan.

Malah, terdapat beberapa agensi pembimbing di bawah JAKIM seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan(MAIWP) serta Majlis Agama Islam Selangor(MAIS) yang dapat memberi khidmat latihan serta nasihat kepada peniaga baru dan sedia ada untuk mengembangkan perniagaan.

Sumber: Astro Awani & Bernama