Seorang lelaki bekerja sebagai subkontraktor mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan iaitu cubaan menyamun motosikal Yamaha Y15 milik penghantar makanan Grab Food dan mencederakan mangsa di Phileo Damansara.

Difahamkan, Abu Bakar Subianto, 33 tahun, mengaku tidak bersalah di depan Majistret M Bharat selepas pertuduhan dibacakan.

Bagi pertuduhan pertama, dia dan seorang lelaki yang masih bebas dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan memukul mangsa, Muhammad Amirul Adli Mohd Saharudin, 22 tahun, pada bahagian muka dan badan menggunakan ‘fork lock’ (pengunci kenderaan).

Bagi pertuduhan kedua pula, suspek bersama rakannya yang masih bebas itu didapati cuba merompak motosikal Yamaha Y15 milik Amirul. Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di pintu hadapan Bangunan Phileo Damansara 2, Petaling Jaya, pukul 2.53 petang pada 9 Ogos lepas.

Pertuduhan pertama ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau mana-mana daripada hukuman itu.

Bagi pertuduhan kedua, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tujuh tahun dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid, menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan suspek tidak boleh mendekati mangsa.

Tertuduh yang diwakili peguam Datuk Suraj Singh memohon jaminan dikurangkan memandangkan anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai anak berusia 12 tahun.

Berikutan itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tidak mendekati mangsa.

Selain itu, mahkamah menetapkan 26 September depan sebagai sebutan semula kes. Tertuduh yang tidak membayar jaminan ditahan reman di Penjara Sungai Buloh. Malah, pihak polis masih lagi memburu seorang lagi suspek yang masih bebas sehingga kini.

Sumber: Harian Metro