Solat terawih merupakan solat sunat yang muncul setahun sekali sahaja iaitu pada bulan Ramadan. Pada mulanya, ramai yang bersemangat untuk menunaikan solat terawih namun semangat itu kian pudar apabila menjelang hujung Ramadan.

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan, menjelaskan tiga faktor utama yang dapat membantu anda sentiasa istiqamah untuk menunaikan solat tarawih sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.

1. Niat

Menurutnya, amalan seseorang akan terputus jika tidak diniatkan kerana Allah. Oleh itu, kita harus niat solat terawih kerana Allah SWT.

“Tapi, ada yang niat nak makan moreh, jumpa kawan, berniaga atau ikut orang sahaja. Sebab itulah solat tarawih itu tidak konsisten,” jelasnya.

2. Kenalpasti suasana lokasi solat terawih

Untuk pengetahuan anda, suasana di dalam masjid turut mempengaruhi persekitaran serta meningkatkan rasa nikmat untuk berterawih.

Malah, bacaan imam yang tidak jelas boleh membuatkan kita tidak meneruskan solat terawih pada malam-malam seterusnya. Amat penting untuk mengenali bacaan imam agar kita lebih khusyuk semasa menunaikan solat.

3. Kelebihan terawih

syaamilstore.com

Sejak kecil lagi kita sudah mengetahui kelebihan solat terawih dan setiap malam mempunyai kelebihannya yang tersendiri.

“Kalau kita tahu dan faham kelebihannya, pasti hati ini lebih mudah untuk istiqomah menunaikan sembahyang tarawih,” ujarnya.

Apa yang penting, hati kena ikhlas dan rebutlah peluang untuk solat terawih kerana kita tidak tahu sama ada sempat atau tidak untuk berjumpa bulan Ramadan pada tahun depan. Wallahualam.

Sumber: mStar