Surau di kawasan rehat dan rawat(R&R) di hentian sebelah dan plaza tol di semua lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad(PLUS) kini dibuka semula sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) berlangsung.

Menurutnya, pembukaan itu selaras dengan keputusan Jabatan Agama Islam negeri yang melaksanakan PKPB.

Selain itu, pihak PLUS turut menasihatkan pelanggan lebuh raya yang berhenti untuk menunaikan solat agar terus patuh kepada prosedur operasi standard(SOP) seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara(MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) bagi memastikan keselamatan semua.

“PLUS turut mengingatkan agar pelanggan yang menggunakan surau supaya mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera atau menulis butiran diri secara manual bagi memudahkan urusan pengesanan kontak sekiranya diperlukan,” tulis kenyataan PLUS.

“Pelanggan juga dinasihatkan membawa kelengkapan menunaikan solat seperti telekung dan sejadah sendiri untuk memastikan kebersihan diri terjaga kerana kelengkapan berkenaan tidak disediakan buat waktu ini,” katanya, hari ini.

Malah, penandaan bagi penjarakan fizikal juga disediakan di setiap ruang solat kawasan mengambil wuduk untuk memastikan jarak fizikal satu meter dipatuhi.

Di samping itu, PLUS juga memastikan surau dan kemudahan awam lain sentiasa disanitasi secara berjadual.

Sumber: Harian Metro