Sungai Raja Hitam dekat Ayer Tawar, Manjung telah diklasifikasikan tercemar teruk dan juga berada pada kelas empat dimana sumber airnya hanya boleh digunakan untuk tujuan pengairan.

Air sungai itu dicemari oleh bahan daripada aktiviti pertanian industri pemerosesan kelapa sawit. Menurut Pengarah Alam Sekitar Perak, Noor Azizi Adinan, bacaan yang menunjukkan indeks kualiti air pada tahap empat hanya membabitkan satu daripada tiga stesen di sungai berkenaan.

“Bacaan pada dua lagi stesen menunjukkan indeks kualiti air berada pada kelas tiga manakala stesen yang menunjukkan bacaan indeks kelas empat adalah stesen pertama yang terletak di hulu sungai dan kedudukan sangat hampir dengan sebuah kilang pemerosesan kelapa sawit.

“Dengan keadaan cuaca semasa yang kering ketika ini, ia menyebabkan kepekatan air semakin tinggi mengakibatkan bacaan (bahan kimia) juga tinggi, bagaimanapun JAS optimis bacaan indeks kualiti air dijangka menurun dan sungai berkenaan akan meningkat ke kelas tiga selepas kualiti airnya semakin baik,” katanya ditemui hari ini.

Kilang yang dipercayai terbabit sebagai pencetus pencemaran di kawasan berhampiran sungai berkenaan juga sudah didakwa dan disabitkan dengan kesalahan Februari lalu serta didenda.

Tambah Noor Azizi, ada 150 stesen pengawasan JAS di lapan lembangan sungai di seluruh Perak bagi memantau dan memelihara kualiti air membabitkan Sungai Perak, Beruas, Kurau, Raja Hitam, Wangi, Sepetang dan Kerian.

Selain itu, katanya, JAS turut menempatkan dua stesen pengawasan automatik iaitu masing-masing di Sungai Perak dekat Parit dan Sungai Bogak dekat Parit Buntar.

Noor Azizi berkata, sepanjang tahun lalu JAS Perak mengeluarkan 188 notis arahan membabitkan pelbagai kesalahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 yang memerlukan pesalah memberikan maklum balas atas kesalahan yang dilakukan selain mengeluarkan 113 kompaun membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekitar.

Terdapat 22 kes pula dikenakan tindakan mahkamah membabitkan pelbagai kesalahan khususnya kesalahan pencemaran air dari kilang yang membabitkan efluen perindustrian dengan jumlah denda keseluruhan dikenakan RM98,000.

Sumber: Berita Harian