Bermula esok, rakyat negeri Perak boleh menunaikan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri pada 1 Syawal nanti selepas mendapat perkenan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Gambar sekadar hiasan

Difahamkan, keputusan itu dibuat selepas mendapat pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

Bagi kebenaran solat sunat Aidilfitri, ia tertakluk kepada beberapa syarat seperti bilangan jemaah tidak melebihi 12 orang, termasuk imam dan khatib.

“Masjid dan surau bagaimanapun masih tidak dibuka kepada orang awam. Pengerusi jawatankuasa kariah hendaklah mengenal pasti dan menetapkan bahawa jemaah yang dibenarkan hadir terbatas kepada kalangan ahli jawatankuasa kariah dan pegawai masjid dan surau,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Shahrul Azam Shaari.

“Individu yang berusia lebih 60 tahun tidak digalakkan hadir berjemaah. Mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selesema, sejarah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, barah dan sebagainya tidak dibenarkan hadir,” jelasnya.

Selain itu, setiap jemaah juga harus membuat pemeriksaan suhu badan, menggunakan cecair pembasmi kuman, merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran serta mengambil wuduk sebelum datang ke masjid atau surau serta membawa sejadah masing-masing.

Gambar sekadar hiasan

Di samping itu, jawatankuasa kariah masjid dan surau diri Jumaat dibenarkan menggunakan pembesar suara luar semasa bacaan teks khutbah serta takbir untuk manfaat ahli-ahli kariah di sekitarnya.

Semasa azan bermula, khutbah sehingga selesai solat Jumaat serta tempoh mula bertakbir sehingga selesai khutbah solat sunat Aidilfitri di dalam masjid dan surau dihadkan tidak melebihi 20 minit.

“Teks khutbah solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) hendaklah ringkas dan padat dengan masa penyampaian tidak melebihi 10 minit,” tambahnya lagi.

“Penyusunan saf dan kedudukan hendaklah mematuhi prosedur yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan jemaah hendaklah bersurai serta tidak mengadakan sebarang jamuan makan minum di masjid atau surau selepas selesai urusan solat,” sambungnya.

Pengerusi jawatankuasa kariah masjid dan surau diri Jumaat wajib memastikan semua syarat dipatuhi atau kebenaran akan ditarik balik jika gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Sumber: Harian Metro