Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung hari ini memutuskan supaya Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dilantik sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh sumber terdekat kepada Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Keputusan itu dicapai susulan mesyuarat yang dihadiri enam daripada sembilan Sultan di Istana Negara.

Sultan-sultan yang hadir mesyuarat lebih satu jam itu ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajudin Syed Putra Jamalullail, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Shah.

malaysiakini.com

Dalam mesyuarat tersebut, keenam-enam Sultan turut menetapkan tarikh bagi mengadakan mesyuarat khas majlis memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Walau bagaimanapun, sumber memaklumkan butiran lanjut berkenaan mesyuarat hari ini akan dimaklumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Sumber: Astro Awani