Kanak-kanak amat menggemari kentang putar selain daripada ayam goreng. Malah, jika ke restoran makanan segera, KFC, kanak-kanak dilihat akan makan ayam goreng disulami dengan kentang putar. Kadang-kadang, mereka sempat bergaduh kerana kehabisan kentang putar.

Seorang pengguna Facebook, Cik Lyns Kitchen, berkongsi resepi kentang putar ala KFC di laman sosial tersebut. Boleh la makan sebanyak mana yang anda mahu dan anak-anak anda pasti menggemarinya!

Bahan

Kentang putar:
8 biji kentang
1 kotak kecil susu segar
Sedikit butter (anggaran 2-3 sudu besar)
Secukup rasa serbuk lada hitam dan lada sulah

Kuah sos:
1 labu bawang besar (dipotong dadu)
2 ulas bawang putih (dipotong dadu)
4 sudu butter
2 sudu tepung gandum / tepung jagung
2 kiub ayam
2 1/2 cawan air
Sedikit lada hitam dan sulah

Cara-cara

Kentang putar:
– Kentang dikupas kulitnya dan dipotong dua.
– Masukkan kentang ke dalam periuk dan rebus dengan air yang secukupnya sehingga kentang tenggelam.
– Rebus dalam masa lebih kurang 10-15 minit dengan api sederhana.
– Bila kentang sudah empuk, toskan air.
– Masukkan sedikit butter dalam kentang dan lenyek.
– Masukkan lada sulah dan lada hitam mengikut citarasa. Kalau nak pedas boleh letak lebih.
– Tuangkan susu sikit demi sedikit (ikut citarasa sebab fungsi susu ini untuk buat kentang putar rasa berlemak dan gebu) dan lenyek lagi sehingga rata.

Kuah sos:
– Cairkan butter dalam kuali dan tumiskan bawang (api sederhana). Biarkan dia bertukar warna sedikit perang (warna karamel).
– Masukkan tepung gandum atau tepung jagung dan kacau terus sehingga tepung menjadi warna coklat atau sehingga warna sos yang anda suka.
– Masukkan air (sikit-sikit sambil kacau) dan kacau sehingga sebati. Tutup api masuk dan masukkan ke dalam blender. Kisar sehingga semua hancur.
– Masak balik atas api sederhana.
– Masukkan kiub ayam dan juga masukkan sekali lada hitam dan lada sulah secukup rasa mengikut citarasa.
– Kalau kuah terlalu pekat, tambahkan lagi sedikit air.
– Kacau sehingga rata dan tutup api. Jika sos kentang putar berketul, masukkan sos ke dalam blender dan kisar hingga tidak berketul.

– Selamat mencuba! 😉

Sumber: Fb Cik Lyns Kitchen