Penerima Bantuan Sara Hidup(BSH) yang memiliki kenderaan 1600cc dan ke bawah serta kereta melebihi 1600cc jangka hayat 10 tahun ke atas layak menerima Program Subsidi Petrol(PSP) seperti yang diumumkan oleh kerajaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menjelaskan bahawa bagi kategori motosikal yang layak mendapat subsidi tersebut ialah motosikal 150cc dan ke bawah serta motosikal melebihi 150cc berusia tujuh tahun ke atas.

Menurutnya, kadar subsidi yang diberikan adalah sebanyak RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 sebulan bagi motosikal kepada 2.86 juta penerima bantuan berkenaan.

“Program subsidi petrol bersasar ini akan dilaksanakan pada Januari 2020 dan harga petrol RON95 akan diapungkan dan harga akan diselaraskan secara beransur-ansur,” ujarnya.

“Program subsidi petrol ini akan menyalurkan bantuan tunai yang akan dikreditkan terus ke akaun penerima setiap empat bulan sekali,” jelasnya.

“Ini membabitkan tanggungan subsidi sebanyak RM65.4 juta sebulan,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun, penduduk Sabah, Sarawak serta Labuan tidak layak menerima PSP berikutan harga petrol RON95 kekal RM2.08.

Tambahnya, prinsip bantuan yang hendak disampaikan oleh kerajaan ialah melalui pengagihan semula subsidi yang saksama dan penggubalan dasar berpandukan data yang diperoleh daripada data asas BSH dan Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ).

Selain itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai PSP di laman web psp.kpdnhep.gov.my.

Sumber: Harian Metro