Demi mahu menyelamatkan isteri tercinta yang sarat hamil tujuh bulan, seorang suami nekad melindungi tubuh isterinya daripada ditembak perompak pada dua hari lepas.

Difahamkan, kejadian itu berlaku pada pukul empat petang semasa Wahidin, 34 tahun, dan Eva Susanti, 33 tahun, menaiki motosikal dari rumah ibu bapanya di Indralaya Utara di Ogan Ilir, Palembang, Indonesia.

Semasa mereka tiba di Jalan Lintas Timur Palembang-Indralaya, sekumpulan enam lelaki menaiki tiga motosikal menahan pasangan tersebut sebelum mengacukan pistol ke arah mereka.

Pasangan itu terkejut dengan kehadiran perompak itu segera memberhentikan motosikal mereka selain diugut akan ditembak suspek.

Berikutan itu, Wahidin terus memeluk isterinya kerana salah seorang daripada suspek sudah mengacukan pistol kepada isterinya.

“Perompak juga ada melepaskan dua kali tembakan ke udara sebagai amaran agar kami tidak cuba untuk melarikan diri,” ujarnya.

“Jangan bergerak dan melawan jika tidak mahu ditembak. Kami cuma mahu ambil motosikal kamu saja,” jelasnya membuat laporan di Balai Polis Daerah Sumatera Selatan.

Difahamkan, suspek kemudian merampas motosikalnya bersama beberapa peralatan elektronik termasuk komputer riba dan wang tunai berjumlah 500,000 rupiah (kira-kira RM148) di samping melarikan motosikal mangsa.

Berikutan itu, dia dan isteri terpaksa berjalan sejauh satu kilometer untuk mencari stesen bas berhampiran.

Ketua Polis Daerah Sumatera Selatan AKP, Aidil Fitriansyah, mengesahkan kejadian berkata pihaknya sedang giat memburu suspek.

Sumber: Harian Metro, Agensi