Sepasang suami isteri Orang Kelainan Upaya(OKU) berpeluang mengerjakan haji serta pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah.

Ibrahim Ahmad, 62 tahun, dan Azizah Mat Zin, 54 tahun, merupakan pasangan OKU pekak dan bisu berasal dari Pokok Sena, Kedah, memberitahu mereka telah menyimpan simpanan ke dalam Tabung Haji(TH) dengan hasil bekerja sebagai penoreh getah untuk mencapai impian ke Tanah Suci.

Malah, kakak Ibrahim, Aazinah Ahmad, 68 tahun, turut mendapat panggilan haji seterusnya menjadi jurubahasa bagi pihak dirinya dan isterinya.

“Adik ipar (Azizah) beritahu hatinya tenang dan seronok pertama kali melihat Kaabah,” ujar Aazinah apabila mereka bertiga menjejakkan kaki di Tanah Suci.

Menurutnya, Ibrahim dan isterinya dilahirkan cacat tetapi pasangan itu gigih menyara diri mereka selain menabung untuk menunaikan umrah dan haji.

Mereka berdua amat bersyukur dan gembira dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci dan beribadah di sana.

Selain itu, rakan sebilik Ibrahim, Zainal Abidin Deraman, 54 tahun, menceritakan pengalaman berada di Tanah Suci bersama Ibrahim.

“Saya juga bawa dia pegang Kaabah. Sebelum ini, saya tidak pernah berkomunikasi dengan orang bisu tetapi selepas mengenali Ibrahim, saya boleh pula faham bahasa isyarat,” ujarnya yang pernah memimpin tangan Ibrahim semasa melakukan tawaf sunat di sana.

Sumber: Harian Metro