Perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyatakan pihak kerajaan akan menyiasat agensi dan pegawai kanan awam yang terlibat dengan rasuah.

Menurutnya, antara agensi yang akan disiasat olehnya ialah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

“Ketika ini peguam negara telah menjejaskan kredibilitinya kerana menyembunyikan bukti salah laku. Itu salah dari segi undang-undang. Kita juga akan teliti sama ada SPRM (pengerusi) telus atau tidak,” katanya.

Untuk pengetahuan anda, SPR diketuai oleh Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dan SPRM pula diketuai oleh Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

“Begitu juga dengan SPR (pengerusi), jika kita dapati beliau terlibat dalam rasuah atau tidak adil maka kita akan ambil tindakan terhadap beliau,” jelasnya pagi tadi.

Tambahnya, pihak kerajaan akan menukar atau melakukan rombakan jika badan-badan bebas berkenaan didapati tidak adil dan menyebelahi mana-mana pihak.

“Kami perlu berunding dengan pentadbir dan peguam untuk mengetahui sama ada apa yang kita lakukan selari dengan undang-undang negara ini,” sambungnya.

Sumber: mStar