Hari ini merupakan hari keputusan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) 2018 dikeluarkan dan pastinya calon peperiksaan berkenaan sedang atau telah mengambil keputusan di sekolah masing-masing.

Untuk pengetahuan anda, keputusan SPM 2018 mencatatkan Gred Purata Nasional (GPN) 4.89, pencapaian lebih baik berbanding tahun 2017 yang mencatatkan 4.90.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, memberitahu bahawa jurang pencapaian antara calon di bandar dan luar bandar mengecil sebanyak 0.04 pada tahun 2018 berbanding tahun lepas.

“Bagi peratusan calon yang layak dianugerahkan sijil meningkat sebanyak 1.2 peratus iaitu 86.4 peratus daripada 391,641 calon yang menduduki peperiksaan SPM berbanding 85.2 peratus pada tahun 2017,” ujarnya.

Gambar sekadar hiasan

“Untuk pensijilan calon berkeperluan khas (CBK), seramai 1,194 calon menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2018 dan daripada jumlah itu, seramai 61.2 peratus CBK layak dianugerahkan sijil,” katanya.

Selain itu, sebanyak 58.9 peratus atau 230,465 calon lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran yang diduduki pada tahun 2018.

“Sebanyak 2.2 peratus atau 8,436 calon cemerlang mendapat gred A+, A dan A- untuk semua mata pelajaran, 19.0 peratus atau 74,360 calon kepujian mendapat sekurang-kurangnya gred C untuk semua mata pelajaran manakala, 37.7 peratus atau 147,669 calon lulus mendapat sekurang-kurangnya gred E untuk semua mata pelajaran,” sambungnya.

Sumber: Harian Metro