Seorang lelaki digelar “Spiderman” kerana kelincahan dirinya memanjat bangunan tinggi tanpa tali keselamatan dan dalam masa yang singkat semasa melihat seorang budak yang berpaut di balkoni.

Tindakan pantas imigran yang berasal dari Mali itu memanjat bangunan empat tingkat di utara ibu kota Paris dipuji oleh Datuk Bandar Paris, Hidalgo.

“Tahniah kepada Mamoudou Gassama atas keberaniannya menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak,” tulisnya di akaun Twitter rasmi miliknya selepas menonton video Mamoudou Gassama menyelamatkan kanak-kanak terbabit.

Selain itu, Hidalgo juga telah menghubungi Gassama untuk mengucapkan terima kasih atas keberanian dirinya dan akan memberi sokongan dalam usaha Gassama untuk menetap di Perancis.

Menteri Perancis dan bekas jurucakap kerajaan, Christophe Castaner, turut kagum dengan tindakan Gassama yang sanggup membahayakan dirinya demi menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak.

“Saya melakukannya kerana dia adalah seorang kanak-kanak. Saya dapat memanjatnya. Terima kasih Tuhan dapat saya menyelamatkannya,” kata Gassama.

Difahamkan, ketika kejadian Gassama sedang berjalan semasa melihat orang ramai berkumpul di depan sebuah bangunan sebelum mengambil keputusan untuk memberikan pertolongan dengan segera.

Sebenarnya, Gassama baru saja tiba di Perancis dari Mali sejak beberapa bulan lalu dan mahu terus menetap di negara itu.

Sumber: mStar