Mulai hari ini sehingga Ahad (21 Jun), solat sunat hajat, doa selamat dan bacaan ‘Qunut Nazilah’ serta selepas solat Jumaat akan dilaksanakan di masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di Zon Hijau seluruh Wilayah Persekutuan selepas solat Maghrib.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan(JAWI), Mohd Ajib Ismail, menyatakan ia sebagai menjunjung titah perintah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan seluruh rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin.

Oleh itu, pihak JAWI menetapkan seluruh masjid, surau Jumaat serta surau terpilih di Zon Hijau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk mengadakan solat-solat tersebut pada waktu dan tarikh berkenaan.

“Pelaksanaannya adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard(SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP) yang ditetapkan sebelum ini,” ujarnya.

“Umat Islam juga disaran berdoa agar wabak Covid19 yang melanda negara segera berlalu serta kesejahteraan kepada seluruh rakyat Palestin, dilindungi tanah air serta dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Israel,” jelasnya.

Sumber: Bernama & Astro Awani