Persoalan mengenai penyanyi dan pengacara serta pelakon terkenal, Alif Satar, 29 tahun, menunaikan solat atau tidak semasa dia menyertai acara Ironman Langkawi 2019 baru-baru ini terjawab apabila Alif berkongsi sebuah video di laman Youtube mengenai aktiviti yang dilakukannya semasa hari kejadian.

Menurutnya, perkongsian itu membuktikan bahawa solat itu mudah dan boleh dilakukan di mana saja dan dalam apa cara sekali pun.

Alif, atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar, menamatkan cabaran itu dengan catatan masa 15 jam lima minit dan 49 saat di mana ia membabitkan tiga aktiviti seperti berenang 3.8 kilometer(km), berbasikal 180 km dan berlari sejauh 42 km.

“Sejak buat perjalanan Ironman Langkawi 2019 di Youtube, ramai mengikuti perkembangan ini. Dalam masa sama saya mahu beri inspirasi kepada orang ramai,” ujarnya.

“Apabila timbul persoalan macam mana dengan solat, saya berasakan perkongsian ini sedikit-sebanyak membantu mereka yang ingin menyertai acara ini,” jelasnya.

“Mungkin mereka bertanya sebab tak tahu. Bagi saya, tak perlu risau atau takut nak masuk terutama memikirkan bab solat. Solat itu mudah. Alhamdulillah, tempat perlumbaan ini menyediakan tempat untuk solat. Tinggal lagi kita kena bijak cari masa,” katanya.

“Memandangkan perlumbaan ini dibuat di Langkawi, jadi saya boleh buat jamak. Kiranya sangat mudah. Saya pun sudah kira dan susun waktu sesuai untuk solat,” tambahnya yang sempat menunaikan solat sebelum menamatkan perlumbaan.

Selain itu, Alif turut menjelaskan bahawa perkongsian yang dilakukannya bukanlah mahu menunjuk dirinya bagus tetapi mahu menjawab persoalan yang ditimbulkan.

“Bukan saya nak tunjuk bagus atau cara nak solat tetapi mahu beritahu apabila dapat solat badan saya segar kembali,” ujarnya.

“Dalam video ini saya sudah kongsi semuanya dan saya jemput orang ramai menontonnya di saluran Youtube Alif Satar,” sambungnya lagi.

Sumber: Harian Metro