Bekas pegawai polis yang disabitkan dan dijatuhi hukuman mati atas pertuduhan membunuh model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, Sirul Azhar Umar, dibenarkan pulang ke negara ini setelah pihak berkuasa Australia meluluskan permohonan Malaysia untuk mengekstradisi Sirul.

Malah, Sirul juga bersetuju untuk meninggalkan Australia jika Malaysia bersetuju untuk menampung kos kepulangannya ke sini.

Sebelum ini, pihak berkuasa Australia menolak ekstradisi Sirul kerana ia melanggar undang-undang negara itu yang tidak menghantar pulang seseorang yang berdepan dengan hukuman mati.

Walau bagaimanapun, pihak berkuasa Malaysia memberi jaminan kepada mereka bahawa Sirul akan menerima layanan yang adil apabila pulang ke tanah air, menurut laporan The Guardian.

Selain itu, Sirul memberitahu dia telah bersedia untuk membantu kerajaan baru bagi menjelaskan perkara sebenar yang berlaku jika diberi pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong.

Untuk pengetahuan anda, pada 23 Ogos 2013, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara telah melepas dan membebaskan Sirul Azhar (tertuduh kedua) dan bekas anggota unit selam tempur UTK, Azilah Hadri (tertuduh pertama) selepas berpuas hati bahawa tidak selamat untuk mengekalkan sabitan dan hukuman gantung yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009.

Altantuya, 28 tahun, ditembak mati dan badannya diletupkan dengan bahan letupan gred tentera di sebuah hutan berdekatan Empangan Subang Dam di Puncak Alam, Shah Alam pada tahun 2006.

Sumber: mStar