Baru-baru ini, seni mempertahankan diri iaitu silat berjaya disenaraikan di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(UNESCO).

Difahamkan, pengiktirafan itu diberikan semasa persidangan mesyuarat sesi ke-14 Intergovernmental Committee for the Safeguarding of Intangible Cultural Heritage yang diadakan di Bogota, Colombia, dari 9 hingga 14 Disember.

Menurut kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, perkara itu diputuskan oleh badan dunia berkenaan yang dianggotai oleh 24 Ahli Jawatankuasa yang bermesyuarat, terdiri daripada negara-negara anggota yang dipilih untuk mengisi kerusi jawatankuasa itu untuk tempoh enam tahun.

Gambar sekadar hiasan

“Penyenaraian di peringkat UNESCO adalah pengiktirafan bertaraf dunia ke atas satu daripada khazanah warisan negara bagi warisan kebudayaan tidak ketara,” ujarnya.

“Penyenaraian ini juga akan memperlihatkan komitmen Malaysia dalam melindungi warisan dunia dan secara tidak langsung akan mendapat perhatian pelbagai pihak dan dunia,” jelasnya.

Twitter UNESCO

Sebelum ini, pencalonan silat di bawah senarai itu serta dokumen berkaitan telah dihantar kepada UNESCO di Paris pada 30 Mac tahun 2018 dan ia mendapat kerjasama dan bantuan yang baik daripada pelbagai agensi kerajaan Persekutuan dan negeri.

Tambahnya, pengiktirafan kali ini amat bermakna selepas Malaysia telah mendapat pencalonan dunia kali pertama iaitu ‘Mak Yong’ dalam kategori Masterpieces of the Oral and Intangible Cultural Heritage of Humanity (Originally Proclaimed 2005) semasa persidangan sesi ke-3 jawatankuasa itu di Istanbul, Turki pada tahun 2008.

Ia diikuti kejayaan kali kedua apabila Malaysia mendapat pengiktirafan ‘Dondang Sayang’ dalam kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity semasa persidangan sesi ke-13 di Port Louis, Mauritius pada tahun 2018.

Sumber: Harian Metro & Bernama