Sempena kita membuka lembaran baru dengan tahun baru Islam, Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1440H/2018M turut berlangsung pada malam tadi di Masjid Wilayah Persekutuan.

Penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan pada tahun 1440H/2018M ialah Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil, yang juga merupakan Presiden Kolej Dar Al-Hikmah.

malaysiagazette.com

Tokoh Maal Hijrah itu menerima hadiah wang tunai RM100,000 dan pingat serta sijil penghargaan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

“Saya berasa kerdil dan takut, tapi saya beranikan diri untuk menerimanya dengan semangat untuk mewakili para daie (pendakwah), ilmuwan dan pendidik yang telah lakukan amal soleh (bekerja) tanpa mengharapkan balasan,” katanya.

utusan.com.my

Pengerusi Panel Majlis Perundingan Islam (MPI) tersebut menambah, dia akan terus menegakkan syiar Islam dan ajaran Islam bersama prinsip dan nilainya selagi hayat dikandung badan.

Selain itu, dia juga menasihati masyarakat supaya sentiasa positif dan menerima perbezaan kaum di negara ini.

bernama.com

“Perbezaan itu bukan masalah, sebaliknya individu itu yang bermasalah dan gagal menyingkap di sebalik perbezaan itu, misalnya sebuah pasukan akan lebih kuat jika terdapat kepelbagaian di dalamnya,” jelasnya.

Sebelum ini, dia pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijah peringkat Negeri Perak pada sambutan Maal Hijrah 1427H/2016M.

Sumber: Astro Awani