Sudah lama kita tidak mendengar khabar berita pelakon terkenal satu masa dulu, Shamsul Ghau Ghau atau nama penuhnya Shamsul Azahar Aliddin, 50 tahun, di media sosial mahupun di surat khabar.

Rupa-rupanya kini Shamsul lebih aktif sebagai guru al-Quran selepas menjadi artis pertama menerima pentauliahan mengajar kitab itu daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada Mac lepas.

“Pada masa ini, saya mengajar al-Quran kepada pelajar lelaki sahaja yang terdiri daripada golongan dewasa berumur 50-an kerana tidak mahu mengundang fitnah,” ujarnya yang mengajar mereka di sebuah bilik pejabat sumbangan rakannya di Bandar Baru Bangi.

Menurutnya, sehingga kini dia telah menerima seramai 10 orang pelajar yang mahu belajar al-Quran dengannya. Malah, dia juga mengakui kebanyakan pelajar malu untuk mengaji secara beramai-ramai dan selesa belajar secara perseorangan kerana faktor umur.

Tambahnya, perkara itu biasa terjadi apabila sudah terlalu lama tidak membaca al-Quran, akibatnya pembaca akan menghadapi kesukaran membaca kitab suci itu dengan lancar.

“Ada beberapa rakan selebriti berminat menyertai kelas saya tetapi mungkin mereka masih sibuk dengan aktiviti penggambaran dan persembahan,” katanya.

Selain itu, dia berharap lebih ramai terbuka hati untuk mempelajari ilmu al-Quran kembali kerana ia adalah bekalan dunia akhirat.

Sumber: Harian Metro