Siapa tidak kenal akan pasar yang terkenal di negeri Terengganu iaitu Pasar Payang yang terletak di Jalan Kampung Cina, Kuala Terengganu.

Sejak 51 tahun dulu, Pasar Besar Kedai Payang atau lebih dikenali Pasar Payang menjual pelbagai barangan jualan produk popular di negeri itu, termasuk kain batik, sutera dan songket.

Walau bagaimanapun, pasar itu yang selama ini menjadi ikon negeri Terengganu akan berubah kerana pihak kerajaan negeri telah memutuskan untuk meroboh bangunan pasar yang dibina sejak 1968 itu untuk menggantikannya dengan pasar yang lebih moden, selesa dan mesra pengunjung, bermula bulan depan.

Difahamkan, kesemua peniaga telah diarahkan pindah secara berperingkat ke bangunan berdekatan dari bangunan asal sementara Pasar Payang baru yang akan dibina menelan belanja RM50 juta itu dijangka siap dua tahun akan datang.

Menurut laporan Bernama, kebanyakan peniaga masih berbelah bahagi untuk pindah kerana sudah sebati berniaga di Pasar Payang dari dulu hingga sekarang.

Sumber: Astro Awani & Bernama