Sudah genap setahun pemergian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, yang menghembuskan nafas terakhirnya pukul 9.41 malam pada tarikh 17 Disember tahun lalu.

Allahyarham Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara(IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa berikutan kejadian rusuhan yang berlaku di hadapan kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya.

Perwira yang menjadi kebanggaan negara itu sepatutnya menamatkan zaman bujangnya bersama tunangnya pada 22 Disember tahun lepas.

Bekas tunang arwah, Nurul Najihah Mohd Radzi, 26 tahun, berkongsi luahan hatinya menerusi laman sosial Facebook dengan menyatakan perasaan pilu dan redha terhadap pemergian allahyarham Adib.

“Apabila Allah membuat kamu menunggu, jangan sekali-kali berfikir bahawa Dia tidak mencintaimu. Apabila Dia mengambil apa yang kamu cintai, janganlah menganggap Dia menghukum kamu,” tulisnya.

“Dia mempunyai sesuatu yang lebih baik untuk kamu. Percaya kepada kebijaksanaan-Nya,” jelasnya.

Selain itu, Najihah turut mencatatkan tarikh yang memberi makna besar buatnya iaitu pada 17 Disember 2018 hingga 17 Disember tahun ini.

Luahan bekas tunang allahyarham itu jelas membuktikan kesedihan yang dialaminya selama ini dan dia turut memuatnaik rakaman serta gambar arwah Adib yang berdurasi selama empat minit. 

Salam takziah buat keluarga allahyarham Adib. Semoga kematiannya terbela satu hari nanti dan keadilan dapat dibuktikan.

Sumber: Astro Awani