Kira-kira 166 orang gelandangan mendapat manfaat daripada program penempatan pekerjaan selepas lapan syarikat bersetuju memilih untuk menerima mereka bekerja.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, menjelaskan bahawa 96 orang gelandangan akan mengikuti program khas Projek Pembungkusan Sarung Tangan oleh Syarikat Top Glove Corporation Bhd yang akan dilaksanakan di Pusat Transit Gelandangan Jalan Ampang dan Anjung Singgah.

Pada tujuh Mei lalu, Jabatan Tenagakerja Wilayah Persekutuan(JTKWPKL) Kuala Lumpur membawa majikan yang terpilih mengadakan temuduga kerja sehingga Isnin lalu.

“Melalui Mesyuarat Crisis Management Committee (Covid-19) peringkat Wilayah Persekutuan pada 10 April 2020, saya meminta JTKWPKL membantu gelandangan yang diselamatkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapatkan peluang pekerjaan,” ujarnya.

“Pihak JTKWPKL seterusnya mengadakan kerjasama bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan rakan sosial sinergi yang terdiri daripada 19 agensi untuk membantu gelandangan yang sudah diselamatkan,” jelasnya.

“Bermula dengan proses saringan oleh beberapa agensi, mengenalpasti majikan yang berpotensi dan mematuhi Prosedur Operasi Standard(SOP) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri(MITI) dalam tempoh Covid19 serta mematuhi undang-undang berkaitan pekerjaan seperti Akta Kerja 1955 dan mencarum dengan KWSP serta mendapat perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial(Perkeso),” katanya.

Difahamkan, keutamaan diberikan kepada majikan yang menyediakan kemudahan penginapan pekerja.

Sumber: Harian Metro