Semalam, seorang pengawal keselamatan meninggal dunia dipercayai disambar petir semasa dalam perjalanan pulang daripada mengerjakan solat Jumaat di Kampung Hujung Alor, Alor Setar, Kedah.

Dalam kejadian sekitar pukul 2.30 petang itu, mangsa, Norhafizan Salleh, 36 tahun, baru sahaja pulang dari Masjid Taman Uda ditemui terbaring bersebelahan sawah padi bersama anaknya Mohd Haziq Norhafizan, 7 tahun, yang cedera akibat kejadian berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supritendan Mohd Redzuan Salleh, mengesahkan bahawa mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Berdasarkan maklumat, mangsa ditemui oleh sekumpulan penduduk kampung bersebelahan di kawasan sawah padi, manakala anaknya pula ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas mini tar berhampiran kawasan tersebut.

Kemudian, anak allahyarham yang pengsan dan mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, untuk mendapatkan rawatan lanjut. Pihak polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kes mati mengejut.

Sumber: Astro Awani