Semalam, sepasang suami isteri warga asing sengaja menanggalkan gelang tangan Covid19 ditahan kerana melanggar perintah kuarantin di rumah.

Gambar sekadar hiasan

Selepas menerima aduan daripada Jabatan Imigresen Labuan, pasangan berusia sekitar 50 tahun itu ditahan polis pada 11.18 pagi.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohamad Farid Ahmad, menyatakan pasangan tersebut masuk ke Labuan melalui pintu masuk di Terminal Feri Antarabangsa Labuan pada 27 September lepas.

Difahamkan, mereka sepatutnya menjalani kuarantin pada hari yang sama sehingga 10 Oktober ini.

“Bagaimanapun pada 30 September lalu, pasangan terbabit ke Pejabat Jabatan Imigresen Ujana Kewangan Labuan untuk tujuan permohonan lanjut dokumen IMM13,” ujarnya.

“Kedua-dua mereka didapati dengan sengaja menanggalkan gelang tangan kuarantin Covid19 tanpa kebenaran daripada Jabatan Kesihatan Labuan,” jelasnya.

Gambar sekadar hiasan

Menurutnya, kedua-dua suspek berkenaan ditahan dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini bagi permohonan reman tempoh lima hari untuk siasatan lanjut.

Selain itu, pada hari yang sama, pihaknya turut menahan dua individu warga tempatan berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun kerana melanggar perintah kuarantin dengan memakai gelang kuarantin Covid19 semasa sedang bekerja di tapak pembinaan perumahan di Kampung Sungai Bangat.

Difahamkan, tangkapan itu berdasarkan hasil maklumat penyelia di tapak pembinaan di mana kedua-dua suspek bekerja.

“Kedua-dua suspek sebelum ini masuk ke Labuan melalui pintu masuk di Terminal Feri Antarabangsa Labuan pada 27 September lalu dan telah mendapat perintah kuarantin,” katanya.

“Namun kedua-dua mereka mengabaikan perintah kuarantin dan bekerja di tapak pembinaan perumahan berkenaan walaupun sudah dinasihatkan oleh penyelia mereka supaya patuh arahan perintah kuarantin,” tambahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sumber: Harian Metro