Semua sekolah awam dan swasta di Selangor diarah tutup selama dua hari bermula esok (19 September) sehingga Jumaat (20 September) ini.

Difahamkan, arahan itu dikeluarkan berikutan cerapan bacaan Indeks Pencemaran Udara(IPU) menunjukkan data bacaan tidak sihat dan sangat tidak sihat di beberapa kawasan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bantuan dan Bencana negeri, Datuk Mohd. Amin Ahmad Ahya, menjelaskan bahawa langkah berkenaan diambil berikutan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia semalam yang memaklumkan bahawa jerebu yang melanda negara semakin teruk dan akan berterusan sehingga minggu depan.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bantuan dan Bencana Negeri Selangor dengan ini mengarahkan semua sekolah awam dan swasta ditutup pada tarikh dinyatakan,” ujarnya.

“Pendedahan terhadap jerebu yang berpanjangan akan meningkatkan risiko terhadap kesihatan terutama kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, pesakit jantung dan paru-paru serta wanita mengandung,” jelasnya.

Menurutnya, arahan itu dikeluarkan setelah mengambil kira tahap pendedahan yang berpanjangan boleh menyebabkan masalah sistem respiratori dan keselamatan pelajar.

Malah, pihak Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Pejabat Pendidikan Daerah haruslah memaklumkan kepada sekolah dan ibu bapa di kawasan masing-masing berhubung penutupan tersebut dengan kadar segera.

Tambahnya, penutupan sementara sekolah akibat cuaca jerebu ini adalah untuk memastikan tahap kesihatan murid tidak terjejas.

“Kerajaan Negeri Selangor sentiasa memantau perkembangan kualiti udara dan sentiasa berhubung dengan semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah berkaitan tindakan dan langkah yang perlu diambil ketika cuaca negara sedang dilanda bencana jerebu,” sambungnya.

Sumber: Astro Awani