Bakal menghadapi musim tengkujuh, semua pulau di negeri Terengganu bakal ditutup bermula bulan depan sebagai persediaan menghadapi musim itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman, menasihati pelancong supaya peka dengan keadaan cuaca semasa sebelum pergi bercuti.

pakejpulauperhentian.com.my

“Bermula bulan Oktober sehingga Februari depan memang mencabar. Kami sudah berbincang dengan pengusaha dan mereka mengharapkan pelancong untuk datang tetapi keselamatan itu lebih penting,” ujarnya.

Tambahnya, tujuan utama kerajaan negeri membuat langkah penutupan pulau adalah kerana mahu mengutamakan keselamatan pelancong dan menjaga kepentingan pelancong serta industri pelancongan tempatan.

“Timbalan Ketua Polis Negara dan wakil-wakilnya akan melawat sendiri Pulau Perhentian untuk melihat sendiri isu keselamatan dan penambahbaikan yang boleh dilakukan bagi menjamin keselamatan pelancong,” jelasnya menjawab insiden kecurian yang dilaporkan berlaku terutama di Pulau Perhentian.

Selain itu, Ariffin juga meminta pengusaha resort dan chalet supaya melakukan kerja-kerja penyelenggaran serta menaik taraf penginapan mereka sepanjang penutupan pulau tidak lama lagi.

Sumber: Astro Awani