Walaupun sebelum ini penggunaan plastik beg telah dikurangkan oleh kebanyakan pasaraya, namun langkah itu masih tidak mencukupi untuk menjaga alam sekitar.

Terbaru, semua pasaraya, rangkaian kedai dan restoran di seluruh negara akan dikenakan ‘caj pencemaran’ jika masih menggunakan beg plastik konvensional dalam perniagaan mulai tahun depan.

Gambar sekadar hiasan

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, memberitahu bahawa caj pencemaran itu bakal dilaksanakan oleh kerajaan negeri yang diberi tempoh selama tiga tahun dari 2019 sehingga 2021 untuk menguat kuasakannya.

Menurutnya, kerajaan negeri boleh menentukan sendiri berapa caj pencemaran yang mahu dikenakan termasuk bila mahu melaksanakannya kerana setiap negeri mempunyai tahap kesedaran yang berbeza.

“Kutipan caj ini akan dikumpulkan dalam satu tabung dan dana boleh digunakan untuk tujuan seperti kempen kesedaran atau memberi beg beli-belah boleh guna semula kepada orang awam. (Tetapi) Ia tidak boleh digunakan bagi tujuan lain,” jelasnya

“Selain itu, kita juga berharap dapat meningkatkan bilangan pengeluaran beg plastik boleh terurai pada kadar yang kompetitif bagi kemudahan pengguna,” sambungnya.

Sumber: Harian Metro