Bulan madu sepatutnya menjadi satu pengalaman yang indah buat pasangan yang baru saja bergelar suami isteri.

Namun, ia bertukar menjadi mimpi ngeri buat pasangan ini yang mahu berbulan madu di Santorini, Greece apabila pasport suaminya dicuri penyeluk saku semasa mereka berada di Athens, Greece, baru-baru ini.

Menurut doktor veterinar, Ungku Syakira Syaza Ungku Ahmad, 28 tahun, tak menyangka bahawa barang berharga termasuk pasport suaminya, Mohd Hakeem Mohd Hajar, 28 tahun, akan hilang akibat dicuri.

“Sebelum kami berdua menyedari barang berharga tersebut hilang, suami ada mengadu dia dilanggar oleh seorang pemuda yang berpura-pura sedang melihat peta tanpa menyedari zip beg galas suami dibuka penyeluk saku,” jelasnya.

Gambar sekadar hiasan

Ia bertambah rumit kerana suaminya tak memiliki insurans perjalanan yang boleh melindungi diri jika berlaku masalah seperti dialami mereka.

Menurutnya, dia menangis setiap malam selama seminggu berada di sana selepas perkara itu terjadi.

Berikutan itu, pasangan itu membuat laporan polis di balai polis pelancong di Athens dan kemudian memaklumkan mengenai perkara itu kepada pejabat konsulat di negara berkenaan keesokan harinya iaitu pada 2 Mac yang lalu.

Akhirnya, pasangan suami isteri itu berjaya pulang ke tanah air selepas melalui beberapa halangan dan rintangan sebelum dapat menjejakkan kaki ke Malaysia.

Semoga kita semua lebih berwaspada dengan keadaan sekeliling semasa melancong ke luar negara. Jangan mudah terleka kerana itulah masanya si pencuri atau penyeluk saku cuba mencuri barangan berharga yang kita ada.

Sumber: mStar