Seorang wanita yang juga seorang model dalam video klip lagu tradisional meminta selipar Jepun serta segelas air sahaja sebagai mas kahwin daripada bakal suaminya.

Difahamkan, wanita itu berbuat demikian kerana tidak mahu membebankan suaminya.

Menurut Portal Kompas, wanita itu bernama Helmi, 20 tahun, dan suaminya, Yudi Anggata, 24 tahun, telah menjadi suami isteri yang sah pada dua hari lepas.

Berikutan itu, kisah pasangan berkenaan mendapat perhatian orang ramai selepas video perkahwinan mereka tular di laman sosial.

Rakaman video tersebut menunjukkan Yudi memakai kemeja putih dengan kain sarung berwarna merah dilihat beberapa kali melafazkan akad nikah sebelum disahkan sebagai suami isteri.

Selesai akad nikah, Helmi dilihat meminum air di dalam gelas berwarna coklat. Dia mengakui selipar Jepun dan segelas air itu adalah permintaannya sendiri.

“Saya memilihnya (selipar Jepun dan segelas air) sebagai mas kahwin kerana tidak mahu membebankan suami dan keluarganya,” ujarnya.

“Tiada alasan lain dan saya minta selipar jepun itu diletakkan di dalam bekas. Sekurang-kurangnya pemberian suami itu akan menjadi kenangan yang boleh diceritakan kepada anak kami nanti,” tambahnya lagi.

Sumber: Harian Metro