Teladan baik daripada kenalan Muslim yang dilihat oleh seorang mualaf, Izuan Lee Tian Chuan Abdullah, 43 tahun, setiap hari membuatkan dirinya tertanya-tanya adakah ini ajaran yang dibawa dalam agama yang dianuti oleh mereka.

“Sejak memeluk Islam, fokus utama saya adalah untuk mencari serta mendalami ilmu agama Islam sebanyak yang mungkin sebagai bekalan di akhirat kelak,” ujarnya yang telah memeluk Islam sejak tujuh tahun lalu.

Menurutnya, selepas melafazkan dua kalimah syahadah, hatinya berasa tenang serta seolah-olah diberikan satu kehidupan yang baru selepas dia memeluk agama Islam pada Disember tahun 2013.

“Selepas memeluk Islam, saya mendalami ilmu agama di Institut Dakwah Islamiah Perkim(IDIP), Pengkalan Chepa, selama empat bulan, namun dalam tempoh itu, saya masih belum mengenali ajaran agama Islam dengan sepenuhnya,” katanya.

“Namun, sebaik sahaja mengikuti progran pemantapan akidah di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia(PERKIM), baharulah saya lebih mengenali Islam dan pada masa sama sehingga hari ini, saya juga masih mengikuti kelas fardu ain yang diadakan pada setiap hujung minggu di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan(MAIK),” jelasnya.

Tambahnya, sebelum memeluk Islam, dia dapat merasakan hidupnya terlalu kosong sehingga terdetik di hati dan terfikir sampai bila dia akan terus menjalani kehidupan yang seolah-olah tidak mempunyai tujuan dan pengakhiran.

Gambar sekadar hiasan

“Sepanjang hidup ini, saya dikelilingi dengan rakan Melayu dan sering melihat bagaimana kehidupan orang Islam yang dilihat berbeza daripada agama lain yang dinilai melalui pandangan mata kasar,” sambungnya.

“Sebelum menganut agama Islam, jiwa saya sering berasa tertekan, serabut serta tiada arah kerana kehidupan duniawi yang dipenuhi hiburan semata-mata,” katanya.

“Bagaimanapun, selepas memeluk dan mendalami Islam, ternyata ia adalah agama yang suci dan hati saya berasa amat tenang serta percaya hanya Allah SWT yang satu layak disembah,” luahnya lagi.

Difahamkan, Izuan hidup bersendirian selepas ibunya meninggal dunia pada tahun 2005 kerana penyakit jantung, kemudian ayahnya pula meninggal dunia pada tahun 2011.

“Pada Jun tahun ini, saya akan menamatkan zaman bujang dan mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan hati yang juga sebelum ini banyak membimbing saya untuk lebih mengenali Islam,” ujarnya.

“Bakal isteri saya mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya sebagai guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) dan setiap kali ada masa terluang, kami bersama-sama mengaji al-Quran melalui panggilan telefon dan pada masa sama dia juga akan memperbetulkan bacaan saya,” jelasnya.

Sumber: Harian Metro