Penyanyi terkenal seperti Aiman Tino, Ismail Izzani, Black Hanifah, Tomok, dan empat lagi selebriti yang lain dilantik sebagai ikon Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk menyebarkan mesej mengenai impak penyalahgunaan bahan terlarang kepada golongan sasaran.

Menurut Datuk Seri Zulkifli Abdullah, Ketua Pengarah agensi berkenaan, pemilihan dibuat bersandarkan keupayaan masing-masing dalam meraih perhatian rakan sebaya dan secara tidak langsung mampu menyampaikan segala maklumat berkaitan dengan lebih berkesan dan menyeluruh.

“Rata-rata ikon selebriti ini mempunyai lebih sejuta pengikut di media sosial dengan kebanyakannya terdiri daripada golongan remaja, orang muda, pelajar dan penuntut kolej.

“Menerusi kerjasama ini, setiap ikon bukan sekadar berkongsi mesej, gambar dan video yang mencakupi peringatan supaya tidak terjebak ke kancah penyalahgunaan dadah di laman sosial mereka, malah masing-masing turut diberikan latihan serta pengisian ilmu sebelum ‘turun padang’

“Latihan itu nanti merangkumi pelbagai perkara, namun ia akan dijalankan mengikut kesesuaian masa dan keperluan. Apa yang pasti, mereka tidak mungkin tampil ‘kosong’ supaya dapat menyampaikan maklumat dengan tepat,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara AADK dan Persatuan Seniman (SENIMAN), di sini, hari ini.

Gambar: Selangorkini

Selain empat penyanyi itu, empat ikon lain yang turut dipilih menjadi ikon ialah Keena Mentor, Izzmad Harun, kumpulan Floor 88 dan pelawak, Achey.

Zulkifli berkata, AADK dan persatuan berkenaan akan lebih agresif menggunakan semua platform media sebagai medan menyalurkan maklumat secara menyeluruh.

“Mungkin kita akan menghasilkan video pendek, drama atau program tertentu untuk dikongsi bersama khalayak, sama ada untuk siaran menerusi Facebook, Instagram mahu pun Twitter,” katanya.

Zuraini yang turut hadir pada hari itu menyifatkan kerjasama itu antara usaha membendung masalah dadah yang sering dikaitkan dengan artis tempatan, selain memenuhi tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

Sumber: BH Online