Sekumpulan rakyat Malaysia yang dikatakan menerima visa Furada terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah, selepas pihak imigresen Arab Saudi mendapati nama mereka tiada dalam senarai visa haji.

Gambar sekadar hiasan

Mereka datang dalam satu kumpulan seramai 26 orang itu menaiki penerbangan komersil dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIA) sebelum tiba di Jeddah, pukul 7 malam semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, menjelaskan bahawa semua jemaah haji itu bukan pergi melalui Tabung Haji(TH) dan sudah pasti mereka menggunakan visa Furada.

“Sebaik tiba dan pemeriksaan imigresen dibuat di Lapangan Terbang Jeddah, didapati nama mereka tiada dalam senarai yang menerima visa berkenaan,” ujarnya.

“Berikutan itu mereka tidak dibenarkan memasuki Arab Saudi. Kita juga belum kenal pasti masalah teknikal visa jemaah berkenaan. Setakat ini, semua kebajikan jemaah terbabit dijaga dari segi makan minum,” jelasnya.

Menurutnya, walaupun mereka terbang ke sana bukan dengan pihak TH tetapi kebajikan mereka tetap dijaga petugas haji di Jeddah.

“Berdasarkan maklumat, visa Furada untuk jemaah itu diuruskan sebuah syarikat namun wakil syarikat terbabit tidak terbang bersama jemaah berkenaan,” katanya.

“Semua jemaah itu melalui proses imigresen biasa dan bukan melalui Laluan Makkah yang biasa dilalui jemaah haji kita,” tambahnya.

“TH tidak boleh membantu kerana ia di bawah bidang kuasa imigresen Arab Saudi. Semua jemaah terbabit juga akan dihantar pulang ke tanah air malam ini,” sambungnya.

Sumber: Harian Metro