Semalam, sekumpulan doktor berjaya menarik keluar seekor ular sepanjang 1.2 meter dari kerongkong seorang wanita di Levashi, Rusia.

Menurut laporan News.com.au, ular tersebut masuk ke dalam mulut wanita itu semasa dia sedang tidur di laman rumahnya di perkampungan Levashi, Dagestan, Rusia.

Pada mulanya, wanita itu menunjukkan tanda tidak sihat segera dibawa ke hospital dan doktor memberikannya ubat bius.

Satu klip video menunjukkan doktor lelaki menggunakan tangannya untuk menarik keluar ular itu dari dalam kerongkong pesakit selepas menggunakan satu tiub hitam untuk membantu proses mengeluarkan reptilia itu.

Beberapa pegawai perubatan yang berada di wad itu terkejut dan menjerit sebaik sahaja melihat saiz sebenar ular berkenaan yang keluar dari badan pesakit.

Ular itu ditempatkan di dalam satu baldi perubatan. Walau bagaimanapun, tiada maklumat lanjut mengenai ular itu sama ada masih hidup atau berapa lama ia berada dalam badan pesakit.

Difahamkan, Kementerian Kesihatan Dagestan belum mengeluarkan kenyataan mengenai kejadian itu.

Untuk pengetahuan anda, Dagestan terletak dekat satu kawasan pergunungan yang bersempadan dengan Laut Caspian.

Identiti pesakit wanita itu dan jenis ular berkenaan masih belum didedahkan setakat ini.

Sumber: Harian Metro