Sebuah sekolah di India meminta maaf secara terbuka selepas menggunakan kaedah pelik untuk mengelakkan para pelajar sekolah itu tidak meniru semasa peperiksaan.

Beberapa keping gambar tular di media sosial baru-baru ini menunjukkan para pelajar memakai kotak di bahagian kepala ketika berada di dewan peperiksaan. Gambar tersebut diambil di Bhagat Pre-University College di Haveri, Karnataka, India.

Walau bagaimanapun, setelah gambar berkenaan tular di media sosial, jurucakap pengurusan sekolah berkenaan, MB Satish, tampil untuk meminta maaf susulan perkara tersebut.

“Saya meminta maaf kerana menggunakan kaedah pelik untuk menggelakkan penipuan berlaku ketika peperiksaan. Sekolah hanya menggunakan kaedah tersebut sebagai eksperimen selepas mendengar ia pernah digunakan di tempat lain,” ujarnya.

“Para pelajar juga dengan rela hati melakukannya malah membawa kotak mereka sendiri,” jelasnya yang menyatakan kaedah tersebut bukanlah paksaan kerana dapat dilihat terdapat pelajar yang menanggalkan kotak tersebut selepas 15 minit hingga 20 minit memakainya.

“Kami sendiri menyuruh pelajar untuk menanggalkan kotak berkenaan selepas satu jam memakainya,” katanya lagi.

Pegawai pendidikan daerah tersebut bergegas ke sekolah berkenaan sejurus diberitahu mengenai gambar berkenaan.

Timbalan Pengarah Lembaga Pendidikan pra-Universiti Tempatan, SC Peerjade, menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berperikemanusiaan.

“Apabila saya mendapat tahu mengenai gambar berkenaan, saya bergegas ke sana dan mengarahkan supaya pihak sekolah menghentikan perkara tersebut,” tambahnya.

“Saya juga telah mengeluarkan notis kepada pengurusan sekolah dan sedang melihat tindakan disiplin yang boleh dikenakan terhadap mereka kerana melaksanakan idea tersebut,” lapor India Times.

Kemudian, pihak pengurusan sekolah bagaimanapun menjelaskan bahawa mereka telah menghentikan kaedah pelik itu.

Sumber: Astro Awani