Berikutan musim jerebu telah melanda negara ini, pihak kerajaan Selangor akan meminta sekolah di negeri itu ditutup jika Indeks Pencemaran Udara(IPU) mencecah bacaan 200.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, menjelaskan bahawa pihaknya masih memantau situasi jerebu di seluruh negeri sebelum sebarang arahan dikeluarkan.

Menurutnya, urusan berkaitan jerebu dikendalikan Unit Kawalan Bencana Negeri Selangor dan kerajaan negeri sentiasa mengikuti perkembangan terkini berkaitan isu berkenaan.

“Tiada cuti sehingga kini kerana belum melebihi 200 namun orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah,” ujarnya.

Selain itu, kerajaan negeri juga turut bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan pembakaran terbuka.

“Perkara ini adalah masalah yang berlarutan. Sebelum ini di Sepang kita sudah kawal dan berjaya tangani. Kali ini kita kena tengok di Johan Setia berikutan ia membabitkan tanah gambut dan pembakaran berlaku dengan cepat sehingga sukar dikawal,” jelasnya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian, menyatakan bahawa 28 kes pembakaran terbuka dikesan di sekitar Johan Setia sedang disiasat Jabatan Alam Sekitar(JAS) Selangor bagi tindakan penguatkuasaan susulan.

Sumber: Harian Metro