Mulai 24 Jun depan, sesi persekolahan untuk pelajar tingkatan lima dan enam yang mengambil peperiksaan awam akan bermula.

Menteri Kanan(Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin, pelajar yang bakal kembali ke sekolah ialah mereka yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

“Anak-anak juga perlu mematuhi Garis Panduan yang disediakan semasa di sekolah. Warga sekolah juga mesti sentiasa mematuhi Garis Panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” ujarnya.

Selain itu, sesi persekolahan bagi pelajar lain akan dibuka secara berperingkat.

Difahamkan, pihak KPM akan mengumumkan sebarang perkembangan berkaitan perkara tersebut dari semasa ke semasa.

“Buat masa ini, pembelajaran di rumah akan diteruskan. Memandangkan guru sudah kembali ke sekolah, pendekatan pengajaran dan pembelajaran boleh dipelbagaikan dengan akses kepada kemudahan yang ada di sekolah,” jelasnya.

Tambahnya, KPM amat berharap pembukaan semula sekolah itu berjalan lancar bagi membolehkan pelajar dapat meneruskan persekolahan dalam keadaan selamat.

“Apa yang penting, kita semua perlu terus patuh kepada arahan dan saranan kerajaan. Sama-sama kita doakan agar keadaan akan pulih sepenuhnya dan semua murid akan dapat kembali ke sekolah,” sambungnya lagi.

Sumber: Harian Metro