Sambutan Hari Kemerdekaan negara 2018 disambut meriah hari ini dengan acara perbarisan dan perarakan di Putrajaya, menampilkan empat komponen yang bersesuaian dengan tema sambutan “Sayangi Malaysiaku” iaitu kenegaraan, ketenteraman awam, keselamatan negara dan rakyat bersepadu.

bharian.com.my

Seramai 300,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya seawal jam 5 pagi sambil membawa Jalur Gemilang untuk melihat acara perbarisan serta perarakan Hari Kebangsaan Malaysia.

bharian.com.my

Selepas ketibaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di Dataran Putrajaya, majlis sambutan hari kemerdekaan dimulakan dengan nyanyian lagu keramat Negaraku dan disusuli bacaan ikrar Rukun Negara.

Deruan helikopter di ruang udara Putrajaya kedengaran apabila lima buah helikopter iaitu dua EC 725 AP dan sebuah Sikorsky S61A-4 Nuri, masing-masing milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebuah Augusta 109 milik Tentera Darat Malaysia (TDM) dan sebuah Super Lynx milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuat lintas hormat kepada Seri Paduka.

Malah, terdapat 14 das tembakan hormat yang memberi simbolik 14 negeri di Malaysia, yang dilaksanakan 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja, mengiringi acara menaikkan Jalur Gemilang ketika nyanyian lagu Negaraku berkumandang.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menteri-menteri kabinet termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo serta perwakilan asing turut hadir menyaksikan acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2018.

Selain itu, laungan keramat ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali yang juga diketuai Muhammad Aiman Shafiq turut bergema di Dataran Putrajaya.

bharian.com.my

Untuk pengetahuan anda, sambutan kemerdekaan kali ini mempunyai sejarah tersendiri kerana meraikan pemerintahan kerajaan Persekutuan, yang kini diterajui Pakatan Harapan, dan tonggak pemerintahan baharu itu dipimpin Dr Mahathir yang kembali menerajui kerajaan pada usia 93 tahun.

Sumber: Astro Awani